1.0 PENDAHULUAN
Isu berkaitan pendidikan Matematik dalam negara dapat dilihat dalam pelbagai skop dan cakupan tersendiri. Pendidikan Matematik dalam negara telah merentasi pelbagai struktur bermula dengan Laporan Razak yang diperkenalkan pada tahun 1956 hinggalah kepada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan proses ini akan terus berkembang seiring dengan perkembangan masa. Ledakan teknologi maklumat dan komunikasi telah memungkinkan Matematik berperanan dalam pelbagai bidang dan sektor.
Oleh itu, penyediaan modal insan yang cemerlang dalam Matematik bermula dari penyediaan modal insan yang cemerlang dalam bidang ini bermula dari peringkat awal lagi. Tidak dapat tidak, peranan guru amat signifikan dalam membentuk modal insan yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, kokurikulum dan juga akhlak supaya mereka menjadi insan yang dapat berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Melihat konteks guru dalam bidang pendidikan Matematik ini, kepercayaan guru adalah salah satu komponen dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik di dalam kelas.
Kepercayaan guru merupakan salah satu asas atau fundamental yang penting dalam membentuk pengajaran dan pembelajaran yang efektif di dalam kelas seterusnya dapat mencapai objektif yang ditetapkan. Dalam perbincangan yang berikutnya, kepercayaan guru akan dikupas dengan lebih mendalam berdasarkan kepada empat dimensi iaitu kepercayaan guru terhadap kurikulum Matematik, sifat Matematik, pengajaran Matematik dan pembelajaran Matematik. Semoga perbincangan ini dapat memberikan nilai tambah kepada pembaca agar dimanfaatkan sepenuhnya.
2.0 DEFINISI KEPERCAYAAN
Menurut Siti Mistima Maat dan Effandi Zakaria (2012), kepercayaan Matematik memainkan peranan yang penting bagi seorang guru dalam memahami profesion mereka untuk mencapai objektif pengajaran yang ditetapkan. Kepercayaan itu sendiri dapat dilihat sebagai suatu konsepsi guru terhadap Matematik yang berkaitan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (Siti Mistima Maat dan Effandi Zakaria, 2012). Kepercayaan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka pula, kepercayaan ialah anggapan atau akuan bahawa sesuatu itu ada. Ini dapat dilihat melalui konteks guru yang beranggapan terhadap Matematik sebagai suatu yang wujud dalam konteks pengajaran dan pembelajaran.
Roslina (2007) dalam Siti Mistima Maat dan Effandi Zakaria (2012) pula melihat kepercayaan terhadap Matematik boleh dibahagikan kepada beberapa segmen iaitu, kepercayaan Matematik secara umum, kepercayaan terhadap tajuk Matematik dan kepercayaan terhadap kaitan Matematik dengan kehidupan seharian. Dapat dilihat bahawa kepercayaan terhadap Matematik itu sendiri mencakupi segmen yang luas dan tidak terbatas kepada beberapa segmen sahaja.
Memandangkan kepercayaan itu secara definisinya ialah anggapan atau akuan berdasarkan definisi di atas, kepercayaan itu adalah berbeza-beza bagi setiap individu itu dalam konteks guru itu sendiri. Kepercayaan itu melihat bagaimana seseorang guru mendefinisikannya secara peribadi tetapi secara amnya masih berkisar tentang konsepsi guru terhadap Matematik melibatkan tajuk-tajuk di dalamnya dan perkaitannya dengan kehidupan seharian.
3.0 KEPERCAYAAN GURU TERHADAP KURIKULUM MATEMATIK
Sistem pendidikan di Malaysia adalah berteraskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menumpukan kepada perkembangan individu secara menyeluruh bagi melahirkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Falsafah ini juga berhasrat melahirkan warganegara yang berketerampilan dan bertanggungjawab dalam segala bidang bagi menghadapi cabaran dalam wawasan negara. Falsafah memainkan peranan dalam membentuk asas kepada kurikulum yang dirangka di mana berperanan untuk membentuk perkembangan pelajar yang holistik.
Kurikulum ialah segala rancangan yang melibatkan akademik dan kokurikulum yang dikendalikan oleh institusi pendidikan bagi mencapai matlamatnya. Kurikulum itu sendiri merangkumi ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai dan norma, unsur kebudayaan dan kepercayaan masyarakat. Kurikulum yang ditetapkan juga hendaklah menentukan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dijangka diperoleh oleh pelajar pada akhir tempoh persekolahan masing-masing (Akta Pendidikan 1996).
Melihat kepada kurikulum Matematik itu sendiri, pelbagai perubahan telah berlaku bermula dari pembentangan Laporan Razak (1956) hinggalah kepada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Ini juga bermula dari bahasa perantaraan yang digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran Matematik yang sentiasa berubah-ubah dari Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris dan kembali semula kepada Bahasa Inggeris. Maka, timbullah isu berbangkit mengenai kurikulum ini seterusnya berkaitan dengan kepercayaan guru terhadap kurikulum Matematik itu sendiri.
Isu yang berkaitan dengan kepercayaan guru terhadap kurikulum pendidikan Matematik ini adalah berkaitan dengan konsep kendiri berkaitan dengan kepercayaan dalam diri guru itu sendiri. Secara umunya, guru lama dan guru baharu mempunyai kepercayaan yang berbeza-beza. Guru lama mempunyai pengetahuan prosedural yang menerangkan kefahaman rasional yang kukuh ketika menerangkan sesuatu konsep Matematik kepada pelajar dan penyampaiannya amat baik kepada pelajar. Namun, kepercayaan mereka untuk menghubungkait elemen yang terlibat dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Matematik dengan perkara di sekeliling berada pada kepercayaan yang rendah.
Bagi guru baru pula, kepercayaan mereka terhadap kurikulum Matematik itu dapat dilihat apabila mereka kurang membuat rujukan dalam topik-topik yang terkandung dalam kurikulum Matematik itu sendiri. Ini akan menyukarkan dalam penerangan sesuatu topik kerana penguasaan pengetahuan kandungan itu kurang mencukupi. Selain itu, kepercayaan guru terhadap kurikulum Matematik dapat dilihat dalam konteks matlamat kurikulum yang tidak selari dengan kepercayaan guru di mana kurikulum yang sentiasa berubah-ubah dari semasa ke semasa.
Contoh yang lebih dekat dalam konteks pendidikan dalam negara dapat dilihat melalui pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003 kepada dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) pada tahun 2012. Dasar dalam kurikulum yang bertukar ini akan menyebabkan kepercayaan guru terhadap penyampaian pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris tidak selari dengan matlamat yang digariskan dalam kurikulum pendidikan terutamanya dalam pendidikan Matematik itu sendiri selain tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik itu sendiri menyebabkan sesetengah guru mempercayai adalah lebih mudah untuk mengajar dengan menggunakan salah satu bahasa sahaja atau dicampurkan kedua-dua bahasa serentak. Selain itu, berlakunya jurang pencapaian dalam kalangan murid bandar dan laur bandar menyebabkan kepercayaan guru terhadap sistem dalam konteks kurikulum Matematik itu sendiri berbeza.
4.0 KEPERCAYAAN GURU TERHADAP SIFAT MATEMATIK
Kepercayaan guru yang seterusnya adalah melibatkan kepercayaan guru terhadap sifat Matematik. Menurut Opt Eynde et. Al (2002) dalam Siti Mistima Maat dan Effandi Zakaria (2012) , kepercayaan terhadap sifat-sifat yang terdapat dalam subjek Matematik melibatkan operasi asas yang melibatkan operasi tambah, tolak, darab dan bahagi serta melibatkan kumpulan masalah. Definisi ini merujuk kepada bagaimana seseorang guru mempercayai sifat Matematik itu dalam konteks penggunaan operasi asas serta menyelesaikan masalah yang melibatkan aplikasi Matematik di dalamnya.
Manakala menurut Siti Mistima Maat dan Effandi Zakaria (2012), kepercayaan terhadap sifat Matematik itu merupakan gabungan antara pengetahuan, sikap dan tindakan yang mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran dalam pelaksanaan tugasan Matematik. Justeru, kepercayaan terhadap sifat Matematik itu merangkumi dimensi yang luas dalam perbincangan hal mengenainya. Zaidah (2005) dalam Siti Mistima Maat dan Effandi Zakaria (2012) pula melihat kepercayaan terhadap sifat Matematik itu mampu mempengaruhi keberkesanan pengajaran dan pencapaian pelajar melalui bagaimana guru itu meletakkan kepercayaan mereka dalam sifat Matematik itu sendiri sebelum pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran. Dapat dilihat di sini bahawa kepercayaan guru terhadap sifat Matematik yang positif mampu memberi kesan terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Dalam kajian oleh Effandi Zakaria dan Norulpaziana Musiran (2010) terhadap guru-guru pelatih, dapatannya menunjukkan kepercayaan guru terhadap sifat Matematik ini merangkumi:
a) Permasalahan Matematik dapat diselesaikan secara tepat dalam satu cara
b) Kaum lelaki lebih baik dalam Matematik berbanding perempuan
c) Sesetengah pelajar mempunyai bakat dalam Matematik dan sesetengah yang lain adalah sebaliknya
d) Matematik secara umumnya adalah cara yang formal untuk memberi gambaran sebenar
e) Sesetengah kumpulan etnik mempunyai penguasaan Matematik yang lebih baik berbanding kumpulan yang lain
f) Dalam Matematik itu, sesuatu itu adalah betul atau salah
g) Sesetengah individu mempunyai penguasaan Matematik yang baik berbanding yang lain
Jika dilihat semula, permasalahan Matematik ada kalanya dapat diselesaikan secara tepat dalam satu cara sahaja dan ada sesetengahnya melalui banyak cara. Tetapi kepercayaan guru terhadap sifat Matematik ini adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa jalan penyelesaian masalah Matematik mempunyai satu cara untuk diselesaikan dan penyelesaian tersebut adalah tepat. Dari segi kaum lelaki atau perempuan yang lebih baik dalam Matematik, guru-guru pelatih ini memberikan respons yang seimbang antara setuju dan sangat tidak setuju. Dapat dilihat bahawa kepercayaan guru terhadap sifat Matematik itu adalah seimbang tidak kira jika pelajar itu adalah lelaki atau perempuan.
Guru juga berpendapat bahawa sesetengah pelajar mempunyai bakat dalam Matematik dan sesetengah yang lain adalah sebaliknya. Mereka mempercayai bahawa sesetengah pelajar mempunyai bakat dalam penyelesaian Matematik yang mungkin lebih tinggi dari tahap pembelajaran semasa pelajar tersebut. Kita dapat melihat contoh bahawa Adi Putra yang merupakan bakat Matematik dalam negara apabila berbincangkan hal ini.
Dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa Matematik secara umumnya adalah cara yang formal untuk memberi gambaran sebenar di mana hampir keseluruhan dunia pekerjaan masa kini memerlukan penggunaan Matematik bagi kerja seharian sama ada secara langsung atau tidak. Contoh yang lebih mudah dalam kehidupan seharian apabila kita membeli atau menjual sesuatu barangan yang melibatkan penggunaan Matematik.
Terdapat juga kepercayaan guru terhadap sifat Matematik yang melibatkan sesetengah kumpulan etnik mempunyai penguasaan Matematik yang lebih baik berbanding kumpulan etnik yang lain. Contohnya apabila guru mengajar di dalam kelas yang mempunyai kumpulan etnik yang pelbagai, sesetengah kumpulan etnik akan mendahului pencapaiannya dalam Matematik berbanding kumpulan etnik yang lain.
Melihat kepada sifat Matematik itu, guru percaya bahawa Matematik itu sendiri adalah sama ada betul atau salah. Jawapan akhir yang diberikan pelajar sama ada betul atau salah dan tidak diterima jawapan yang lain. Berbanding dengan subjek lain yang berdasarkan jawapan yang logik atau berkait dengan soalan yang diberikan, guru percaya Matematik hanya melibatkan salah satu betul atau salah sahaja.
Yang terakhir, sesetengah individu mempunyai penguasaan Matematik yang baik berbanding yang lain di mana kita dapat melihat munculnya ramai individu di
seluruh dunia yang menguasai Matematik dalam peringkat yang tinggi pada awal usia mereka yang sebenar sehingga digelar genius Matematik.
5.0 KEPERCAYAAN GURU TERHADAP PENGAJARAN MATEMATIK
Liljehdahl (2008) dalam Siti Mistima Maat dan Effandi Zakaria (2012) menyatakan bahawa pengajaran Matematik merangkumi kepelbagaian takrifan dan pembuktian Matematik yang merupakan suatu strategi pedagogi dan kandungan yang diperlukan dalam praktis guru yang mempunyai pandangan sistematik terhadap Matematik. Dalam pendidikan Matematik juga, kepercayaan dan pengetahuan harus bergerak seiring semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam kelas (Liljehdahl, (2008) dalam Siti Mistima Maat dan Effandi Zakaria (2012).
Apabila seseorang guru itu ingin mengajar Matematik, mereka haruslah mempunyai pedagogi dan isi kandungan yang luas dalam topik-topik yang ingin diajar dan mampu membuat perkaitan antara setiap topik dan aplikasinya dalam kehidupan sebenar. Pengajaran Matematik pada masa kini adalah berbentuk pendekatan konstruktivisme di mana kaedah berpusatkan pelajar adalah amat digalakkan berbanding pendekatan chalk and talk iaitu dalam aliran tradisional yang berpusatkan guru. Banyak dapatan-dapatan kajian telah membuktikan bahawa kaedah ini mampu menarik minta para pelajar dalam suasana pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dan memperbanyakkan lebih banyak interaksi antara guru-murid, murid-guru dan murid-murid di dalam kelas.
Dalam kajian oleh Effandi Zakaria dan Norulpaziana Musiran (2010) terhadap guru-guru pelatih, dapatannya menunjukkan kepercayaan guru terhadap pengajaran Matematik ini merangkumi:
a) Matematik harus diajar sebagai suatu kemahiran dan algoritma
b) Dalam pengajaran Matematik, penekanan harus diberikan terhadap penggunaan kata kunci untuk menentukan operasi dalam penyelesaian sesuatu masalah
c) Matlamat pengajaran Matematik adalah untuk membantu pelajar membentuk kepercayaan bahawa mereka mampu mengawal kejayaan mereka dalam Matematik
d) Dalam pengajaran konsep Matematik, perwakilan sesuatu itu haruslah lebih dari satu seperti penggunaan gambar rajah, bahan maujud, simbol atau sebagainya
e) Guru Matematik yang baik menunjukkan cara yang tepat dan sebenar untuk soalan yang diuji
f) Dalam pengajaran Matematik, kemahiran pengiraan haruslah mendahului penyelesaian masalah berbentuk perkataan
g) Pelajar haruslah digalakkan untuk meneliti penyelesaian, konjektur dan kemahiran berfikir
h) Kemahiran pengiraan yang asas adalah mencukupi bagi seseorang guru untuk mengajar Matematik
Dalam pengajaran Matematik, kemahiran dan algoritma (proses atau peraturan semasa membuat perkiraan) haruslah selari untuk ditekankan kepada murid supaya mampu menguasai Matematik itu dengan baik. Kemahiran dan algoritma tersebut haruslah disusun secara berperingkat dan berkronologi selaras dengan tahap pemikiran murid.
Guru juga percaya bahawa dalam pengajaran Matematik, penggunaan kata kunci adalah penting dalam penyelesaian sesuatu masalah Matematik di mana pemahaman terhadap kata kunci memudahkan pelajar memahami kehendak soalan. Oleh itu, ramai guru-guru Matematik yang memberi penekanan terhadap penggunaan kata kunci ini semasa mengajar bagi sesuatu topik di mana kata kunci bagi setiap topik adalah berlainan antara satu sama lain. Terdapat juga kata kunci di dalam buku teks Matematik yang diberi penekanan dalam setiap topik yang terkandung dalam silibus.
Guru juga percaya bahawa matlamat pengajaran Matematik itu adalah untuk membantu pelajar membentuk kepercayaan bahawa mereka mampu mengawal kejayaan mereka dalam Matematik. Bidang kerja yang luas penggunaan Matematik telah memungkinkan guru percaya bahawa pengajaran Matematik itu adalah satu wadah bagi mereka membentuk kepercayaan bahawa pelajar mampu berjaya dalam Matematik. Oleh itu, pengajaran dalam bentuk jalan kira akan ditunjukkan dengan cara yang paling mudah tetapi efektif kepada pelajar supaya mudah difahami dengan harapan bahawa mereka mampu berjaya dalam Matematik.
Untuk itu, guru percaya bahawa penggunaan bahan bantu mengajar dalam pengajaran Matematik adalah penting untuk perwakilan sesuatu itu di mana tidak menghadkan kepada satu jenis perwakilan sahaja. Perwakilan ini penting kerana Matematik itu sendiri adalah sesuatu yang abstrak, oleh itu perwakilan adalah penting bagi menunjukkan sesuatu secara visual kepada pelajar. Bagi guru Matematik pula, mereka akan menunjukkan cara yang tepat dan sebenar terhadap soalan yang diuji. Cara yang ditunjukkan pula adalah cara yang paling mudah difahami oleh pelajar supaya mereka lebih mudah untuk memahami konsep yang diajar.
Dalam pengajaran Matematik, guru juga percaya bahawa kemahiran dalam pengiraan haruslah mendahului penyelesaian berbentuk perkataan. Perkara ini dapat dilihat melalui soalan yang diajukan dalam bentuk aplikasi dalam Taksonomi Bloom itu sendiri di mana banyak penggunaan perkataan digunakan dalam soalan tersebut. Oleh itu, guru percaya bahawa kemahiran dalam pengiraan apabila berdepan dengan soalan jenis tersebut haruslah mendahului dalam penyelesaian masalah Matematik tersebut yang berbentuk perkataan.
Selain itu, guru juga percaya bahawa pelajar haruslah digalakkan untuk meneliti penyelesaian, konjektur dan kemahiran berfikir. Penyelesaian masalah Matematik yang tepat akan disulami dengan penelitian semula, konjektur dan kemahiran berfikir kepada pelajar supaya mereka bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah Matematik malah malah mampu membuat penilaian semula dan keputusan terhadap sesuatu masalah tersebut. Ini sebagai satu usaha untuk membentuk pelajar yang mampu berfikir dalam aras yang tinggi selaras dengan apa yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Yang terakhir ialah, dalam pengajaran Matematik, guru percaya bahawa kemahiran pengiraan yang asas adalah mencukupi bagi seorang guru untuk mengajar Matematik. Walau bagaimanapun, pengiraan yang asas haruslah disulami dengan pedagogi dan pengetahuan isi kandungan yang baik oleh guru supaya dapat memberikan pengajaran Matematik yang efektif kepada murid.
6.0 KEPERCAYAAN GURU TERHADAP PEMBELAJARAN MATEMATIK
Menurut Earnest (1989) dalam Siti Mistima Maat dan Effandi Zakaria (2012), sistem kepercayaan guru dalam pembelajaran Matematik mengandungi pandangan guru tentang proses pembelajaran, tingkah laku dan aktiviti mental pelajar, aktiviti pembelajaran pelajar, jangkaan konsepsi dan imej aktiviti pembelajaran dan proses pembelajaran Matematik secara umum. Oleh itu, sistem kepercayaan guru terhadap pembelajaran Matematik itu berkisarkan kepada pelajar dalam konteks tingkah lakunya, aktiviti pembelajaran, konsepsi dan sebagainya. Sistem ini diintegrasikan dalam kepercayaan guru itu terhadap bagaimana pelajarnya belajar Matematik. Suhada et al. (2004) dalam Siti Mistima Maat dan Effandi Zakaria (2012), menyatakan terdapat dua jenis kepercayaan yang berkaitan dengan pembelajaran iaitu pembelajaran untuk mengetahui dan pembelajaran untuk memahami. Pembelajaran untuk mengetahui ialah dengan mengandaikan pembelajaran Matematik dapat dipelajari sekiranya sesuatu konsep atau kemahiran telah diajar manakala pembelajaran untuk kefahaman merujuk kepada pelajar yang mampu mengaitkan dengan pengetahuan yang lepas. Oleh itu, pelajar yang belajar untuk memahami adalah aspirasi kepada guru kerana mereka mampu menguasai topik-topik yang telah diajar dan menghubungkait dengan pembelajaran semasa.
Dalam kajian oleh Effandi Zakaria dan Norulpaziana Musiran (2010) terhadap guru-guru pelatih, dapatannya menunjukkan kepercayaan guru terhadap pembelajaran Matematik ini merangkumi:
a) Dalam mempelajari Matematik, peraturan atau algoritma haruslah mendahului semua kemungkinan
b) Demonstrasi bagi penaakulan yang baik haruslah lebih banyak diaplikasikan berbanding kemampuan pelajar untuk mendapatkan jawapan yang tepat
c) Dalam pembelajaran Matematik, pelajar boleh menjadi kreatif dan menemui pelbagai perkara secara sendiri
d) Pembelajaran Matematik ialah proses yang aktif
e) Bagi menyelesaikan kebanyakan masalah Matematik, prosedur yang tepat haruslah diajar kepada pelajar
Peraturan atau algoritma adalah penting dalam menyelesaikan sesuatu masalah Matematik. Ini sebagai suatu panduan kepada pelajar supaya mereka dapat belajar Matematik berdasarkan kepada peraturan yang harus diikuti bagi mendapatkan jawapan. Selain itu, guru juga percaya bahawa dalam pembelajaran Matematik, demonstrasi haruslahdiaplikasikan bagi sesuatu penaakulan supaya pembelajaran Matematik pelajar dapat disokong dengan bukti yang berbentuk demonstrasi visual, audio dan sebagainya.
Aplikasi ini perlu dilakukan dalam jumlah yang banyak berbanding menitikberatkan kemampuan pelajar untuk mendapatkan jawapan yang tepat. Ini kerana, pelajar lebih mudah apabila guru menunjukkan contoh terutamanya yang melibatkan demonstrasi supaya mereka dapat memegang konsep yang ingin diajar. Apabila pelajar telah faham akan konsep yang diajar, mereka akan lebih mudah mendapatkan jawapan yang betul dalam penyelesaian masalah Matematik.
Guru juga percaya dalam pembelajaran Matematik, pelajar boleh menjadi kreatif dan menemui pelbagai perkara secara sendiri. Ini dinamakan penyiasatan dan penemuan bagi sesuatu masalah. Perkara ini boleh melatih pelajar untuk menjadi lebih kreatif di samping berfikir secara kritis dalam perkara yang ingin diuji oleh guru berdasarkan pemahaman Matematik oleh pelajar tersebut.
Pembelajaran Matematik juga adalah proses yang aktif di mana penglibatan pelajar adalah secara menyeluruh dan semua pelajar mengambil bahagian dalam pembelajaran di dalam kelas. Dalam erti kata lain, tiada seorang pun yang akan pasif di dalam kelas kerana semua mengambil bahagian dalam pembelajaran Matematik di dalam kelas.
Yang terakhir ialah, dalam pembelajaran Matematik pelajar, guru percaya bahawa prosedur yang tepat dalam penyelesaian masalah Matematik harus diajar kepada mereka supaya mereka mampu menjawab masalah Matematik dengan tepat dan menunjukkan jalan kerja yang mengikut prosedur yang ditetapkan supaya setiap idea penting dalam prosedur tersebut diterapkan dalam jawapan murid.
7.0 PENUTUP
Pelbagai definisi telah ditakrifkan dalam isu kepercayaan guru. Kepercayaan guru adalah luas konteksnya dan perbincangan di atas menumpukan kepada empat dimensi iaitu kepercayaan guru terhadap kurikulum Matematik, kepercayaan guru terhadap sifat Matematik, kepercayaan guru terhadap pengajaran Matematik dan kepercayaan guru terhadap pembelajaran Matematik.
Umumnya, setiap guru Matematik mempunyai kepercayaan masing-masing dan perbincangan di atas menghadkan kepercayaan yang berdasarkan kajian ilmiah yang dilakukan oleh para pengkaji. Dapat disimpulkan bahawa kepercayaan guru akan bergerak seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas bagi mencapai objektif yang ditetapkan. Kepercayaan terhadap Matematik merupakan suatu konsepsi oleh guru bagaimana untuk mengendalikan pengajaran dan pembelajaran di dalam subjek Matematik supaya pelajar tertarik dan lebih mudah faham akan penyampaian guru.
Oleh itu perbincangan di atas dapat dimanfaatkan kepada pembaca agar memahami sedikit sebanyak mengenai isu berkaitan dengan kepercayaan guru terhadap Matematik. Semoga perkongsian ini memberi idea-idea baharu kepada pembaca dalam memartabatkan modal insan yang cemerlang selaras dengan apa yang digariskan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
8.0 RUJUKAN
Dewan, Kamus. "Dewan Bahasa dan Pustaka." Kuala Lumpur (2005).
Ernest, P. (1989). The knowledge, beliefs and attitudes of the mathematics teacher: A model. Journal of Education for Teaching, 15(1), 13-33.
Liiljehdal, P. (2008). Teachers’ Beliefs as Teachers’ Knowledge. Prosiding International Commission on Mathematics Instruction, 5 – 8 Mac.
Op’t Eynde, P., De Corte, E. & Verschaffel, L. (2002). Framing students’ mathematics-related beliefs: A quest for conceptual clarity and a comprehensive categorization. Dalam G. Leder, E. Pehkonen & G. Törner (penyt.), Beliefs: A Hidden Variable in Mathematics Education (pp.13-38). Boston, MA: Kluwer Academic Publishing.
Roslina Radzali, (2007). Kepercayaan Matematik, Metakognisi, Perwakilan Masalah dan Penyelesaian Masalah Pelajar. Tesis Doktor Falsafah. Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Siti Mistima Maat & Effandi Zakaria (2012). Sistem kepercayaan guru matematik. Jurnal Pendidikan Sains & Matematik Malaysia, 2(1), 11-17.
Zaidah Yazid. (2005). Pengetahuan pedagogikal kandungan (PPK) Guru Matematik Tambahan Berpengalaman. Tesis Doktor Falsafah. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Zakaria, E., & Musiran, N. (2010). Beliefs about the nature of mathematics, mathematics teaching and learning among trainee teachers. The Social Sciences, 5(4), 346-351.